Tulang Belakangku

Tinggalkan Jejak Ampa Kat Sini Supaya Senang Si Gadis Sorban Nak Menjejaki Ampa (^^,)~~

Tuesday, June 21, 2011

Berita Harian Online | Lindungi kanak-kanak

Berita Harian Online | Lindungi kanak-kanak

Lindungi kanak-kanak
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2011/06/21


Perlu tenaga kerja sosial cekap, terlatih 

"MALAYSIA antara negara di dunia, mempunyai pentadbiran sosial yang indah dan sempurna, tetapi masih ada yang perlu diperkemaskan untuk membolehkan ia beroperasi dengan lancar. Seharusnya ia bagaikan permainan 'jigsaw puzzle', yang di akhir permainan menemui jawapan, tetapi pentadbiran sosial yang ada berakhir dengan kekeliruan dan sukar menemui penyelesaiannya."

Demikian lontaran perunding Pertubuhan Dana Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Dr Pauline Meemeduma, mengulas mengenai pekerja sosial di negara ini. Beliau antara pakar yang terbabit dalam merangka pindaan Rang Undang-undang Pekerja Sosial, yang akan dikuatkuasa menjelang akhir tahun ini.

Kehadirannya ke ibu kota dalam lawatan lima hari ke Malaysia adalah untuk melatih dan memberi sokongan kepada pekerja sosial dalam merealisasikan akta berkenaan. 

Membandingkan Malaysia dengan negara membangun lain, beliau menyifatkan pentadbiran kerajaan, sistem sokongan, termasuk kementerian khusus menjaga kebajikan sosial, Jabatan Kebajikan Masyarakat, sedia ada, amat sempurna tetapi untuk menyelesaikan kes membabitkan penderaan domestik umpamanya, memakan masa lantaran kekurangan pada bahagian tenaga kerja. 

“Dalam penyelidikan yang kami jalankan, kami dapati pekerja sosial yang kurang berpengalaman, tidak terlatih serta tidak mencukupi antara perkara paling perlu ditangani. Kita mahu kalau sesuatu kes membabitkan penderaan seksual serta domestik, kanak-kanak perlu segera dibawa keluar daripada persekitaran itu dan diselamatkan. 

“Pakar yang terlatih umpamanya tahu bagaimana menangani kes sebegini, bukan hanya menunggu arahan demi arahan sebelum bertindak,” katanya. 
Dr Meemeduma, pakar dalam perlindungan kanak-kanak, mempunyai lebih 35 tahun pengalaman dalam bidang profesional itu. 

Sejajar dengan kempen ‘Get On Board 2010’ UNICEF bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkasa persekitaran perlindungan kanak-kanak di negara ini. 

“Perubahan amat perlu memandangkan ia adalah asas kepada pembangunan perkhidmatan kualiti sosial sesebuah negara. Tambahan pula pekerja sosial perlu dipertingkatkan kerana mereka adalah kumpulan majoriti dalam perkhidmatan kebajikan di seluruh dunia. Tanpa mereka, kita tidak sebenarnya tidak mampu memberikan perkhidmatan sosial terbaik,” katanya. 

Sebelum ini, pekerja sosial boleh terdiri daripada sesiapa saja tetapi menerusi Rang Undang-undang Pekerja Sosial, tugas itu hanya boleh dijalankan oleh pekerja berlesen dan pekerja sosial yang cekap. 

Tahun lalu, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju, perlu ada Akta Pekerja Sosial untuk mengawal selia tugas berkenaan. 

Menerusi undang-undang itu, hanya mereka yang memenuhi syarat tertentu akan didaftarkan. Rang undang-undang juga memperuntukkan semua pendidikan sosial yang berkaitan dengan kerja dan kursus latihan diluluskan dan diiktiraf Majlis Kebangsaan Kerja Sosial. 

Ini bagi memastikan kursus diajar, berkaitan serta diterima selaras pada peringkat antarabangsa, membolehkan kumpulan pekerja sosial turut mampu menyumbang perkhidmatan mereka di mana saja di dunia. Di Australia umpamanya, hanya pekerja sosial dengan sekurang-kurangnya dua dan setengah tahun pengalaman dibenarkan mengendalikan kes serangan seksual kanak-kanak. 

Meemeduma, yang sudah lama ‘mengenali’ Malaysia, berkata negara ini sememangnya mahu memberikan perkhidmatan terbaik dan memanfaatkan sumber yang ada tetapi tenaga kerja itu ‘hilang’ apabila mencari peluang berkhidmat di luar negara yang menjanjikan pulangan lebih lumayan. 

“Rangka laluan kerjaya yang jelas bagi individu dalam perkhidmatan ini amat mustahak. Dengan pakej imbuhan yang lebih baik untuk setara dengan tahap kepakaran mereka. 

“Lebih utama, kita tidak mahu orang-orang berkelayakan dalam kerja sosial, pergi meninggalkan tugas mereka. Kita mahu mereka meningkatkan kelayakan sama ada pada peringkat untuk sarjana kerja sosial atau kelayakan baru dipanggil pekerja sekutu sosial, yang perlu mempunyai sekurang-kurangnya minimum satu tahun latihan kerja sosial,” katanya yang percaya, apabila rang undang-undang menjadi undang-undang, ramai yang akan menerima baik perubahan itu. 

Paling utama, tegas Meemeduma, undang-undang itu bakal menjadi satu perlindungan berkesan untuk kanak-kanak kerana bentuk jenayah hari ini semakin kompleks hingga tidak terjangkau fikiran yang waras. 

Ia juga bukan lagi masalah setempat, sebaliknya seantero dunia. Justeru, perlindungan untuk kanak-kanak menjadi cabaran besar buat mana-mana negara. 

“Antara masalah paling jelas ialah pembabitan dengan dadah, perdagangan dan eksploitasi komersial wanita serta kanak-kanak, terutama di Asia. Begitu juga ancaman HIV/Aids yang semakin ketara berbanding dulu. Isu negara ini, bila ia menjadi semakin rumit, sedangkan kecekapan tenaga menangani, kurang. 

“Kita mesti cepat berubah dan positif dengan perubahan sekeliling supaya apabila sesuatu masalah menerpa, ia dapat ditangani dengan cemerlang dan ini boleh diperoleh menerusi pekerja sosial yang mampu bersaing,” katanya. 

Mengakhiri bicara, Meemeduma mengakui tidak ada satu lokasi pun di dunia yang dapat mencegah sepenuhnya penganiayaan atau pembunuh terhadap kanak-kanak, namun tegasnya, masalah itu dapat dikurangkan dan ditasi dengan berkesan dengan adanya tenaga kerja sosial yang cekap. 

IINFO: Rang Undang-undang Pekerja Sosial 



  • Semua agensi kebajikan sosial di Malaysia (kerajaan dan bukan kerajaan) hanya boleh mengambil pekerja sosial yang cekap (berdaftar dan berlesen) dan hanya mereka yang berkelayakan dibenarkan melaksanakan tugas berkenaan. 




  • Semua pendidikan sosial yang berkaitan dengan kerja dan kursus latihan pertama mestilah yang diluluskan dan diiktiraf oleh Majlis Kerja Sosial Negara. 




  • Kerajaan dan NGO perlu mengadakan jawatan kerja sosial, jika perlu, dengan kerja yang sesuai berhubung imbuhan serta jawatan. Hanya pekerja sosial yang layak boleh dilantik ke jawatan ini. Sebagai contoh, hanya seorang pekerja sosial dengan sekurang-kurangnya dua setengah tahun pengalaman boleh mengendalikan kes serangan seksual kanak-kanak. 




  • Pembentukan kumpulan pekerja sosial yang berkelayakan, cekap dan diiktiraf di peringkat antarabangsa boleh berkhidmat di Malaysia atau di tempat lain di dunia. 




  • No comments:

    Post a Comment