Berita Harian Online | Isteri tua, madu rapat
Suami main cinta rakan sepejabat hidup bahagia berpoligami
Bersama Kak Ani
norain@bharian.com.my
2011/03/27
KERELAAN isteri mengizinkan suami berpoligami memang amat jarang berlaku. Sukar sebenarnya untuk memahami jauh sekali menyelami perasaan si isteri andai tidak pernah berdepan ketentuan itu.
Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil, aneh atau luar biasa seperti dialami seorang wanita yang hanya mahu dikenali ‘Raden Ilham Maria.’ Menerusi e-melnya, wanita cekal ini berkongsi pengalaman hidup bermadu kepada pembaca Kongsi Rasa.
“Apa saja jika difikirkan positif akan menjadi positif, begitu juga dengan kehidupan bermadu. Jika ia diterima dengan sikap terbuka kerana reda dengan tuntutan agama, ia boleh diamalkan secara adil dan saksama.
“Sudah lama saya ingin mengetengahkan kisah benar diri ini, tetapi terpaksa pendamkan sehinggalah madu saya sendiri, Hani, mencadangkan saya menulis ke ruangan ini.
“Ingin saya ingatkan wanita di luar sana, kembalilah kepada hukum Allah SWT dalam al-Quran mengenai keharusan perkahwinan melebihi seorang.
“Namun, andai kita tidak sukakan suami berpoligami, janganlah menentang hukum Allah SWT atau memperlekehkannya kerana ia boleh merosakkan akidah kita.”
Begitulah bait-bait ayat Raden Ilham Maria ketika membuka bicaranya dan seterusnya menyingkap kehidupannya sebagai wanita bermadu.
“Kisah bermadu saya ini bermula pada 2001. Kami tinggal di Kuala Lumpur ketika itu dan saya pekerja sebuah jabatan kerajaan manakala suami bekerja di Putrajaya. Hani pula sepejabat suami.
“Hani yang menyewa enam kilometer jauhnya dari tempat tinggal kami, pada mulanya menumpang kereta suami ke tempat kerja dengan dikenakan sedikit bayaran.
“Maka bermulalah episod yang mana setiap pagi suami menjemput Hani dan teman-teman serumahnya ke Putrajaya. Daripada cerita suami, teman-teman Hani yang lain semuanya enggan duduk di kerusi depan dan mengesyorkan Hani saja. Hani akur walaupun berasa malu.
“Memandangkan Hani baru lulus ujian memandu, sekali sekala suami benarkan Hani memandu keretanya untuk membiasakan diri.
“Setiap hari suami akan bercerita mengenai Hani kepada saya. Anehnya, saya pula suka mendengarnya. Jika suami mendiamkan diri, saya pula bertanyakan hal Hani. Entah mengapa saya mula menyukai Hani walaupun jarang bertemu.
“Ada masanya, jika saya masak untuk bekalan anak ke sekolah, pasti saya titipkan juga untuk Hani. Saya turut cadangkan suami jemput Hani makan tengah hari di rumah.
“Sebagai seorang isteri yang sudah berkahwin 16 tahun ketika itu, saya fahami apa tersirat di hati suami. Daripada ceritanya, ada tanda-tanda suami menaruh hati kepadanya. Bagaimanapun, Hani pula sebaliknya kerana sudah ada teman lelaki istimewa.
“Tanpa pengetahuan Hani, teman lelakinya berkahwin dengan gadis lain menyebabkan Hani kecewa. Ketika itulah, suami memarahinya dan sebaliknya menyatakan lebih baik Hani berkawan dengannya daripada lelaki penipu itu.
“Selepas peristiwa itu, saya sedar suami berkenan kepada Hani dan membenarkan suami kahwin lagi. Ya...suami terkejut pada mulanya tetapi dia menerimanya selepas melihat keikhlasan hati membenarkan dia berkahwin.
“Suami berjumpa ibu bapa Hani beberapa kali untuk menyatakan hasratnya mengambil Hani sebagai isteri. Pada mulanya, ibu Hani menentang keras, tetapi selepas melihat kesungguhan suami, lama kelamaan hati ibu Hani lembut dan bersetuju menerima menantu.
“Saya juga mempelawa ibu Hani ke rumah untuk melihat sendiri kehidupan kami sekeluarga. Saya berterus terang dengan ibu Hani mengenai keikhlasan diri ini menerima Hani sebagai madu kerana tidak mahu ramai wanita menjadi andartu.
“Dalam pada itu, Hani dan kedua-dua ibu bapanya pergi menunaikan haji ke Makkah. Di sana Hani sering bermunajat kepada Yang Esa. Sekembalinya, Hani banyak menyepikan diri seolah-olah mahu melarikan diri daripada saya dan suami. Saya meminta suami memberi peluang kepada Hani untuk berfikir kerana ini demi masa depannya. Akhirnya Hani berjumpa saya dan menyatakan persetujuannya.
“Saya menemani suami ke pejabat agama untuk menandatangani borang berpoligami dan menyerahkannya. Selepas mendapat kelulusan, saya juga membantu suami dan Hani mencetak kad jemputan perkahwinan mereka. Pelbagai reaksi diberikan teman-teman dan masyarakat sekeliling selepas menerima kad jemputan itu. Ada yang pelik, geram, menuduh ini kerja gila dan tidak kurang juga ada yang kagum. Apa yang penting, suami tidak menyembunyikan perkahwinan keduanya seperti lelaki-lelaki lain.
“Sebelum Hani bernikah dengan suami, saya memberi peluang beberapa bulan kepadanya untuk mengenal hati budi kami sekeluarga. Selepas waktu pejabat Hani akan ke rumah kami. Suami menghantarnya pulang ke rumah sewa pada sebelah malam. Kadangkala pada hujung minggu saya mempelawa Hani bermalam di rumah.
“Pada hari pernikahan, saya dan anak mengiringi suami ke kampung Hani. Kami menyaksikan sendiri majlis itu. Selepas tujuh hari bersama Hani, suami kembali ke pangkuan saya dan anak-anak. Saya bersalaman dengan suami dan mengucapkan ‘Selamat Pengantin Baru.’ Suami memeluk dan mengucup kening saya serta berjanji akan berlaku adil selepas pernikahan keduanya itu.
“Dalam melaksanakan poligami, suami membuat giliran sehari di rumah saya dan sehari lagi di rumah Hani. Suami juga memaklumkan kepada Hani, dia akan memberi lebih masa kepada anak-anak saya terutama seorang anak istimewa. Hani akur dengan saranan suami itu.
“Selepas bernikah Hani tinggal sementara di rumah saya, sebelum berpindah ke rumah sendiri. Saya yang mencadangkan suami menyediakan rumah berasingan buat Hani untuk mengelak perkara tidak diingini.
“Walaupun tinggal di rumah lain, setiap kali pulang dari pejabat, Hani akan singgah ke rumah saya untuk bersembang dan makan malam. Selepas bersolat Maghrib berjemaah dan makan malam, suami akan menghantar Hani ke rumah sewanya dan kembali ke rumah saya sekiranya malam itu giliran saya. Sekiranya malam itu giliran Hani suami akan terus bermalam di rumahnya.
“Ke mana saja pergi, kami akan pergi bertiga dalam satu kereta. Suami meminta kami berdua duduk di tempat duduk belakang.
“Setibanya hari raya kami akan balik ke rumah orang tua suami. Hani juga akan mengikut saya pulang ke rumah keluarga saya. Begitu juga saya akan mengikut Hani pulang ke kampungnya.
“Setakat ini, hidup kami aman kerana ada persefahaman dan sikap adil suami,” kata Raden Ilham Maria menutup bicara.
Bagi Kak Ani, kalau ramai suami yang bersikap adil seperti suami Raden Ilham Maria, tentu tidak timbul pandangan negatif berpoligami. Apa yang menjadi masalah sekarang ramai lelaki yang ingin berpoligami atas dasar mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW, tetapi dari segi pelaksanaan mereka gagal kerana perkahwinan yang dibuat mempunyai agenda tersembunyi. Selain itu ada yang menyembunyikan perkahwinan kerana tidak mampu bersikap adil terhadap isteri masing-masing.
Malah ada pula yang menganiaya isteri pertama dan anak-anak selepas dapat isteri muda. Sikap buruk begini yang menyebabkan sesetengah orang menentang poligami. Kak Ani doakan agar Raden Ilham Maria dan Hani terus bahagia selamanya.
PS : Bahagianya kalau mcm ni.... hehe.... :)